Saturday, June 5, 2010

ketuanan melayu

Ketuanan Melayu
Posted on Mac 23, 2010 by Abdullah Zaik

Kalimah “Ketuanan Melayu” dihentam hebat oleh orang Melayu sendiri khususnya yang berhaluan kiri. Mereka menyifatkan perkara itu sebagai rasis, cauvinis dan sebagainya. Kerana ia dilihat memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah UMNO. Tetapi adakah “Ketuanan Melayu” itu sendiri sebenarnya bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam yang menjadi cita-cita setiap pejuang Islam? Adakah ”Ketuanan Melayu” sebenarnya akan merugikan Orang Islam? Atau ia telah dieksploitasi oleh orang bukan Islam untuk kepentingan mereka sehingga lahir di kalangan orang Melayu sendiri mereka yang begitu bersemangat memperjuangkan bukan kaum mereka?

Negara Islam adalah Negara Aqidah iaitu negara bagi penduduk yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Negara Islam juga adalah negara yang mana kuasa politik (wewenang) mutlak berada di tangan orang Islam. Mungkin ini dimaksudkan dengan mafhum “ketuanan”. Dengan itu mereka dapat melaksanakan maqasid siasah syariyyah mempertahankan tanahair dan kehormatan bangsa dan tugas-tugas sebagai sistem politik Islam sebagaimana difardhukan oleh Allah tanpa perlu rasa tergugat oleh pengaruh tawar-menawar pihak bukan Islam.

Adakah “Ketuanan Melayu” bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam? Orang Melayu adalah majoriti penduduk Islam yang mengucap syahadah teramai di Tanah Melayu ini. Secara de facto merekalah umat Islam yang dimaksudkan. Dari sini kita dapat lihat sinonimnya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam yang menjadi pra syarat kepada tertegaknya sebuah Negara Islam yang dihormati.

Kita tidak perlu bermain kalimah mengatakan bahawa ketuanan Islam bukan ketuanan orang Islam dan ketuanan orang Islam bukan ketuanan Orang Melayu kerana apa makna ketuanan Islam jika kuasa politik di tangan atau berada di bawah pengaruh bukan Islam? Dalam keadaan komposisi orang Melayu (Islam) dalam mana-mana pakatan atau dalam parlimen lemah bolehkah mereka mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Islam?.
Jadi secara konsepnya ”Ketuanan Melayu” dan cita-cita politik Islam saling sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Melayu perlu kembali kepada Islam, memahami risalah mereka, menjadi bangsa yang kuat dan bersatu padu. Jika Melayu bersatu atas satu agenda sendiri barulah ia boleh memaksa siasah dan cita-citanya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang kafir mendaulatkan Islam dan mengangkat martabat orang Islam. Kenapa kita tidak terfikir bahawa mendendang lagu bahawa memperjuangan “Ketuanan Melayu” rasis dan mendakwa Malaysia adalah milik semua, Melayu sebenarnya tidak wujud adalah propaganda orang kafir untuk memperdaya orang Islam agar mengizinkan mereka yang minoriti sampai ketampuk kekuasaan?Kenapa kita tidak fikir bahawa politik adalah perhitungan untung rugi? Dan dengan dakwaan demikian siapa yang akan untung?

Oleh itu untuk menegakkan sistem politik Islam kita perlu sokongan yang kuat kerana ia adalah satu projek yang bertentangan dengan projek sekular barat. Menganggap mana-mana organisasi kafir, negara jiran, serantau dan antarabangsa akan mengalu-alukan cita-cita politik Islam adalah satu kedangkalan. Poltik Islam adalah satu agenda yang mestilah dipaksakan dengan kekuatan. Dan kekuatan itulah yang dipanggil asobiah oleh Ibnu Khaldun. Tanpa merujuk kepada kekuatan kesatuan orang Melayu (asobiah) cita-cita politik Islam khususnya di Malaysia tidak akan ke mana. Saya tidak percaya orang yang masih ada dalam dirinya cita-cita politik Islam akan menentang ketuanan Melayu dan meruntuhkan kekuatan bangsa sendiri yang sebenarnya sandaran kekuatan kepada projeknya, kecualilah ia jahil.

Dan sebaliknya pula jika sekiranya kita memahami konsep kenegaraan Islam dengan jelas bagaimana ia memberi keuntungan kepada agama dan bangsa, saya tidak boleh faham kenapa golongan-golongan di kalangan umat Islam tidak boleh bersatu di atasnya. Namalah apa yang kita nak namakan, Islam tidak memfardhukan dengan satu-satu nama, yang penting impaknya kepada mendaulatkan negara dan memartabatkan bangsa.

Adapun isu ini memberi keuntungan politik kepada mana-mana kumpulan itu terpulang ke atas kebijaksanaan parti tersebut dalam bermain politik. Tetapi bagi pencinta politik islam ia adalah satu thawabit haraki yang perlu dipertahankan. Saya tidak mengatakan dengan itu kita telah mencapai cita-cita politik Islam, tetapi paling tidak kita dapat mengurangkan kemudharatan seperti kata ulamak menanggung kemudaratan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar.

Mengekalkan dominasi umat Islam/Orang Melayu secara umum dalam struktur politik di Malaysia adalah satu yang bertepatan dengan maqasid syariat keseluruhannya. Cuma isu yang akan ditimbulkan seterusnya ialah berkaitan dengan perlaksanaan syariat. Selama ini orang melayu memerintah pun Islam tidak terlaksana juga.

Penjelasan saya:
1. Syariat ialah segala yang dibawa oleh nabi Muhamad s.a.w
2. Thawabit tadaruj dalam perlaksanaan Islam
o bermula dengan akidah, nilai, ibadat, akhlak, mumalat dan politik. Justeru tiada paksaan dalam perlaksanaan.
o Majoriti umat Islam tidak faham Islam menyebabkan antara mereka yang menentang perlaksanaan Islam
o Antara thawabit tadaruj juga ialah perlaksanaan Islam juga bertitik tolak dari iltizam individu, jamaah dan kerajaan. Kita tidak perlu kuasa untuk melaksanakan Islam di peringkat pertama dan kedua
o Di peringkat kerajaan, kita tidak boleh lakukan sesuatu yang bermakna dalam keadaan umat jahil, lemah dan berpecah belah seperti yang kita hadapi hari ini. Kekuatan akidah-kekuatan perpaduan dan kekuatan dokongan massa.

Kesimpulan
Dalam keadaan hari ini sesiapa yang memerintah sekalipun mereka tidak akan dapat melaksanakan pemerintahan Islam seperti sepatutnya sama ada disebabkan bidang kuasa yang terhad atau kuasa tawar-menawar lemah. Hatta di peringkat Negara kita tidak semestinya memiliki wewenang yang mengizinkan kita melaksanakan cita-cita Islam.

Kita harus faham bahawa Negara kita dibina atas satu reka bentuk yang bersifat sekular dalam terletak dalam rangkaian sistem antarabangsa yang mencengkam segenap sendi kehidupan. Jadi ada sesetengah kewajiban Islam (walaupun kita memerintah) yang tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan kekuatan wewenang yang membolehkan kita memaksa kehendak di peringkat Negara seperti kekuatan asobiah bangsa Melayu di Malaysia dan ada yang memerlukan kekuatan kesatuan di peringkat antarabangsa (umat).

Jadi isu perlaksanaan syariat khususnya di peringkat pemerintahan perlu kepada strategi dan permuafakatan antara pihak-pihak bukan dijadikan bahan bantai-membantai, kerana keupayaan melaksanakannya mengatasi kekuatan setiap satu daripada kita.

Yang menjadi perkara pokok ialah orang Melayu mesti kembali kepada Islam dan membina semula jati diri mereka yang bersejarah. Selama matlamat ini tidak tercapai maka pendirian kita berlegar sekitar kaedah menanggung kemudharatan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar dan kaedah mengubah mungkar tidak sampai membawa kepada melakukan mungkar yang lebih besar. Adapun politik Islam, ia adalah satu perjalanan yang masih jauh.



Difailkan dalam: komentar
000000000000000000000

(Nukilan Haji Hadi Awang pula ialah seperti dibawah ini)

« Gerakan Sekular Dalam Negara Islam
Perbandingan Nasionalisme dengan Islam »

Islam dan Nasionalisme

Nasionalisme ialah fahaman yang menjadikan ikatan bangsa, keturunan, bahasa atau kawasan sebagai matlamat perjuangan bagi menegakkan kepentingannya. Ia tidak mengira batas-batas keadilan menurut Islam sehingga fahaman ini menjadi falsafah politik, ekonomi dan kegiatan-kegiatan yang lain.

Fahaman ini juga lahir daripada fahaman memisahkan agama dengan dunia. Agama tidak dijadikan dasar dan panduan dalam kepentingan ekonomi, politik dan lain-lain tetapi ia lebih cenderung pada semangat kebangsaan. Fahaman ini menjadi ukuran dalam semua perkara sehingga mengatasi kepentingan akidah yang menjadi pegangan hidup.

Pada masa dahulu, fahaman ini lebih dikenali sebagai asobiah (fanatik perkauman). Definisinya masih sempit iaitu perjuangan bagi kelompok kecil yang dikenali kabilah atau keluarga yang mesti dipertahankan walaupun atas dasar dan tindakan yang zalim. Definisi ini disebut dalam hadis Nabi Muhammad:

“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asobiah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar asobiah dan bukan dari kalngan kami yang mati atas dasar asobiah.”
Seorang sahabat bertanya:
“Apakah asobiah itu wahai Rasulullah?”
Nabi Muhammad menjawab:
“Asobiah itu ialah kamu menolong kaummu atas dasar kezaliman.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa’i)

Islam dan Nasionalisme

Islam mengiktiraf perasaan kasih pada bangsa dan tanah airnya kerana Allah berkata kepada Nabi Muhammad dalam surah al-Syuarak ayat 214,
“Berilah amaran kepada keluargamu yang hampir.”

Nabi Muhammad pernah berkata pada Hari Pembukaan Kota Mekah,
“Demi Allah, sesungguhnya engkaulah (Mekah) sebaik-baik bumi Allah, dan bumi Allah yang paling Allah kasih kepadanya. Kalaulah tidak kaumku mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak keluar.
(Riwayat oleh at-Tirmizi)

Walau bagaimanapun, Islam melarang kasih pada sesuatu yang melebihi daripada Allah, Nabi Muhammad dan Islam. Lebih membimbangkan apabila seseorang bertindak melulu dan merendahkan kasih Allah dengan meletakkan kepentingan bangsa dan puak lebih daripada yang lain dan melampaui batas-batas Allah. Kerana Allah menyebut dalam surah at-Taubah, ayat 24,

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).”

Allah menyebut lagi dalam surah al-Mujadalah, ayat 22,
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra Dengan orang-orang Yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang Yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman Dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka Dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang Yang berjaya.”

Ini adalah bukti akidah Islam mengatasi segala hubungan yang lain sama ada hubungan keluarga, keturunan dan bangsa. Al-Quran melarang Nabi Muhammad dan umat Islam memohon ampun untuk orang musyrik walaupun mereka daripada kaum keluarga. Allah menyatakan kisah Nabi Nuh yang kasihan kepada anaknya yang ditenggelami banjir tetapi Allah tidak mengizinkan beliau untuk memohon ampun kepada anaknya. Kisah nabi Ibrahim dengan ayahnya yang tidak beriman juga menunjukkan kasih sayang keluarga tidak boleh dijadikan asas bagi memohon keselamatan dunia dan akhirat sekiranya Islam tidak dijadikan teras dalam kehidupan.

Kuliyah Jumaat 23 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment

 

accutane