Saturday, June 5, 2010

sembahyang berjemaah

Fadilat sembahyang berjemaah

Masuk Syurga Tanpa Hisab.


Dalam mazhab Syafie hukum sembahyang berjemaah adalah Fardu Kifayah, wajib ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukankannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadis:

Tidak ada tiga orang (lelaki) dalam sesebuah kampung atau sesebuah desa yang tidak mengerjakan sembahyang berjemaah, melainkan mereka (mudah) dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mereka mencuaikan perintah syara’); oleh itu hendaklah engkau sentiasa menyatukan diri dengan jemaah (kerana dengan itulah sahaja engkau akan selamat dari angkara syaitan) (Riwayat Imam Ahmad).

Dalam mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah ialah Fardu Ain berdasarkan hadis:

Sabda Rasulullah s.a.w.: Seberat-berat sembahyang atas para muniafiqin ialah sembahyang Isyak dan sembahyang subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya. (HR Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah)

Namun hadis ini telah dibatalkan setelah Baginda mendapati ramai sahabat yang tercicir dari sembahyang berjemaah.

Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad berdasarkan hadis yang mengatakan sembahyang jemaah itu sunnatul huda (sunnah petunjuk).

“Dari Ibnu Mas’ud Radhiallaahu anhu, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam mengajari kami sunnah-sunnah (jalan-jalan petunjuk dan kebenaran) dan di antara sunnah-sunnah tersebut adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan di dalamnya.” (HR. Muslim)

Bagi perempuan lebih afdhal sembahyang di rumah. Dibolehkan berjemaah di masjid untuk keperluan menuntut ilmu.

dari blog Nasbun Nurain

00000000000000000000000000000000

Sembahyang berjemaah dalam jumlah yang ramai adalah lebih afdal dan utama daripada jumlah yang sedikit. Sehubungan ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Daripada Ubai bin Kaab katanya, telah bersabda Rasulullah: “Sembahyang seorang lelaki berserta seorang lelaki lebih baik daripada ia sembahyang seorang diri dan sembahyang seorang lelaki berserta dua orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Dan jemaah yang lebih banyak, jemaah itu lebih dikasihi Allah.” (Riwayat Abu Daud).

Sesungguhnya sembahyang berjemaah itu sunat muakkad yang sangat diberatkan. Dan sembahyang berjemaah bagi orang lelaki pada sembahyang fardu hukumnya fardu kifayah. Fardu kifayah ertinya jika telah dilakukan sekumpulan dalam sesuatu tempat atau kawasan, maka gugurlah dosa penduduk yang lain di tempat atau kawasan berkenaan. Tetapi jika tidak ada yang melakukannya berdosalah seluruh penduduk dalam kawasan itu.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Darda’ r.a bahawasanya Nabi bersabda: Tiada tiga orang di dalam sebuah kampung atau dusun yang tidak diadakan di sana sembahyang jemaah, melainkan nyatalah bahawa mereka telah dikuasai oleh syaitan. Sebab itu, usahakanlah mengadakan sembahyang berjemaah. Sesungguhnya kambing yang terpencil daripada kawannya sahajalah yang dapat dimakan oleh serigala.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai).

Walaupun Allah tidak mewajibkan hamba-Nya sembahyang berjemaah setiap sembahyang fardu, banyak hadis menerangkan mengenai ancaman atau balasan yang akan diterima mereka yang meringan-ringankan sembahyang jemaah. Salah satu hadis itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu adalah terkutuk di dalam kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran. Orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu berjalan di muka bumi, bumi mengutuknya, orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu dimurkai Allah, malaikat dan segala makhluk Allah yang bernyawa dan dimurkai pula oleh malaikat yang berada di antara langit dan bumi serta semua ikan yang berada di laut.”

Sebagaimana diterangkan bahawa banyak kelebihan dan keistimewaan sembahyang berjemaah. Antaranya ialah orang yang sembahyang berjemaah mendapat dua puluh tujuh darjat daripada orang sembahyang bersendirian. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih utama pahalanya daripada sembahyang sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang seseorang dengan berjemaah itu melebihi sembahyangnya di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah apabila dia berwuduk, dilakukannya dengan baik lalu pergi ke masjid sedang pemergiannya itu tidak lain daripada hendak sembahyang semata-mata, maka setiap langkah yang dilangkahnya, diangkatlah kedudukannya satu darjat dan dihapuskan satu dosanya. Dan jika dia sedang sembahyang, maka malaikat memohonkan untuknya rahmat selama dia masih berada di tempat sembahyang itu selagi dia belum berhadas, kata mereka, “Ya Allah! Berilah orang ini rahmat, ya Allah! Belas kasihanilah dia. Dan orang ini dianggap sedang bersembahyang, sejak dia mulai menantikannya.”

Daripada kitab Durratun Nasihin,

Rasulullah memberitahu melalui hadisnya yang bermaksud: “Barang siapa sembahyang lima waktu berjemaah, maka baginya lima perkara (hadiah). Pertama, dia tidak ditimpa kefakiran di dunia. Kedua, Allah membebaskan dia daripada seksa kubur. Ketiga, dia akan menerima kitab catatan amal dengan tangan kanannya. Keempat, dia melalui jambatan (siratulmustakim) sebagai kilat yang menyambar dan kelima, Allah memasukkannya ke syurga tanpa hisab dan seksa.”

dari blog syed abi ghufran al idrus.

0000000000000000000

wanita lebih baik solat dirumah daripada di masjid. Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud bahawa Nabi bersabda :-

"Seorang wanita bersolat didalam rumahnya lebih baik dari dia bersolat dihalamannya, dan solat didalam bilik kecil lebih baik dari bersolat dirumahnya" [Hadith Riwayat Abu Daud]

Akan tetapi, ini tidak bermakna kaum wanita tidak dibenarkan untuk solat di masjid. Didalam sebuah hadith baginda bersabda : "Jangan melarang wanita kamu dari pergi ke masjid, walaupun rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka" [Hadith Riwayat Abu Daud]. Didalam sebuah riwayat oleh Ibn Umar ra.,

"Nabi telah bersabda: Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin untuk pergi ke masjid, maka janganlah menegahnya " [Hadith Riwayat Muslim].

Didalam sebuah Riwayat lain, Ibn Umar ra. berkata : Aku telah mendengar bahawa Rasulullah berkata : "Jangan kamu melarang wanita kamu dari pergi ke masjid jika mereka meminta izin dari kamu". Bilaal Ibn Abdullah berkata : "Demi Allah, kita akan menghalang mereka" Ibn Umar terus berhadapan dengannya dan memberitahunya :"Aku memberitahu kamu apa yang Rasulullah kata, dan kamu berkata Demi Allah, kami akan menghalang mereka !!" [Hadith Riwayat Muslim #667].

Ada juga mereka yang menggunakan kenyataan A'isyah ra. bagi menghalang wanita dari pergi ke masjid. Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:

"Kalau sekiranya Rasulullah melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita sekarang, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, seperti dilarang kepada wanita Bani Israel. Yahya berkata: Aku bertanya kepada Amrah, adakah wanita Bani Israel itu dilarang pergi ke masjid? Maka beliau menjawab: Ya! " [Riwayat Muslim].

Menurut Abdul Azim Abaadi bahawa sebab mengapa solat dirumah mereka adalah lebih baik kerana ia selamat dari fitnah dan keinginan, Ini adalah kerana selepas kewafatan Nabi wanita telah mula memaparkan perhiasan mereka, maka sebab itulah A'isyah berkata demikian. ['Aun al-Ma'bood, 2/193].

Menurut Ibn Hajar pula : "Kenyataan ini tidak mengatakan dengan jelas bahawa A'isyah telah memberi fatwa bahawa wanita dilarang untuk pergi ke masjid" [Fath al-Bari, ,s 928].

Wanita dibenarkan untuk ke masjid selama-mana dia menjaga 3 syarat :-

a. Hendaklah di menutup aurat
b. Tidak memakai bau-bauan (minyak wangi).
c. Jika dia seorang isteri, hendaklah meminta izin suami

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pada zaman Nabi , terdapat kaum wanita menyertai solat berjemaah di masjid. Mereka juga menyertai solat Jumaat dan juga Solat Eid. al-Qaradhawi mengatakan bahawa wanita-wanita ini menggunakan pintu yang sama dengan lelaki, sehinggalah Nabi memerintahkan agar pintu tersebut dikhaskan kepada wanita, dan sehingga kini wujud Pintu khas untuk Wanita tersebut.

Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa para sahabat menghalang wanita dari menunaikan solat dimasjid. Dr Muzammil Siddiqi mengatakan bahawa adat melarang wanita pergi kemasjid telah bermula zaman baru-baru ini sahaja.

dari al ahkam.net


000000000000000000000000000

Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan untuk mengabdikan diri dengan rasa rendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat merupakan Mi’raj hamba kepada Allah subhaanahu wata’ala untuk mempersembahkan seluruh solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata’ala sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162-163:
“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan Afdhal di padang atau di tempat lapang.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ganjaran pahala semabahyang berjemaah itu melebihi dari sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat”.

Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah. Umat Islam sewajarnya memahami bahawa apapun aktiviti dan rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti.

Sabda rasulullah s.a.w:

“Gembirakanlah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti”.
(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara rasional tanpa mengira latar belakang dan fahaman, kerana masing-masing menjaga adab ketika berada di rumah Allah.

Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka bilal lah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saff jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.

Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki, riya’ dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup tenang, bersopan santun dan penuh kemesraan.

Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya dan Allah menyebut namamereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah”.

Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin, namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan kos pembinaan masjid jutaaan ringgit.

Setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengajak, menyeru, menasihat orang Islam yang lain. Apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama, kita bimbang mereka menjadi jauh dari Allah. Apabila Allah jauh dari hati kita maka syaitanlah yang cepat menghampiri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian”.
(riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i).

Firman Allah subhaanahu wata’ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka”.
“Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk”.
(Al-Baqarah: 43)

Bacaan 16 Oktober 2009
JAISKhutbah Jumaat :Fadhilat Solat Berjemaah Jabatan Agama Islam Selangor


00000000000000000000000000000

Sekian.

No comments:

Post a Comment

 

accutane