Tuesday, May 4, 2010

Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w.

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah

Tahun 10 Hijriah, di Lembah Uranah, Gunung Arafah


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku akan bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir disini pada hari ini.


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim itu suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa agar orang lain tidak menyakiti kamu. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan keatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai saat ini.


Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak keatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak kamu, maka mereka berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh membawa masuk orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak lebih mulia seseorang itu dari yang lainnya kecuali yang lebih taqwa dan amal salehnya.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awaslah, agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lagi agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang aku sampaikan kepada kamu ini. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini, menyampaikan pula kepada orang lain. Ada kalanya orang yang disampaikan kepadanya itu lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang menyampaikan yang mendengarnya terus dariku.


Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.

No comments:

Post a Comment

 

accutane