Tuesday, May 25, 2010

Sumber hukum didalam Islam

Apakah sumber-sumber ilmu Fiqh?

Sumber-sumber ilmu Fiqh bermaksud dalil-dalil yang menjadi sandaran ahli-ahli Fiqh (Faqih atau Fuqahak) dalam mengeluar hukum-hakam Fiqh. Ia terdiri dari sumber-sumber asal dan sumber-sumber sokongan. Sumber asal bagi ilmu Fiqh ada dua sahaja iaitu;

1. Al-Quran
2. As-Sunnah (disokong dan diperjelas oleh perlakuan2 para sahabat)

Sumber-sumber (dalil-dalil) tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkan hukum-hakam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al-Quran dan as-Sunnah). Ia terdiri dari;

1. Ijmak
2. Qiyas
3. Istishab
4. Masalih Mursalah
5. Istihsan
6. 'Uruf
7. Syari'at terdahulu

000000000000000000000000000000000

SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU USUL FEQH

Syariah Islamiah yang telah sampai kepada kita melalui Penutup segala nabi dan rasul Saidina Muhammad bin Abdullah asasnya ialah Al-Quran dan dijelaskan oleh baginda s.a.w dengan Sunnah perkataan, perbuatan, ikrar, dan juga ijtihad baginda s.a.w bagi hukuman terhadap peristiwa-peristiwa yang telah diperakui oleh Allah s.w.t. Maka kedua-dua Al-Quran dan Sunnah merupakan asas agama yang menetapkan hukum-hukum syarak.
Selepas kewafatan baginda s.a.w, para Sahabat r.a bangun melihat kepada nas-nas Al-Quran dan Sunnah, mencari ijtihad Rasululah s.a.w terhadap hukum-hukum peristiwa yang telah berlaku, dan juga ijtihad sahabat-sahabat yang telah diperakui oleh baginda s.a.w. Apabila mereka melihat kepada hukum-hukum syarak, didapati ianya mempunyai sifat-sifat yang kembali kepada maslahat ummah berakar daripada Al-Quran dan Sunnah yang dinamakan Kias. Ia menggabungkan di antara apa yang tiada dalam nas dengan apa yang terdapat dalam nas dengan sifat-sifat tersebut. Begitu juga mereka mengambil kata sepakat daripada ijtihad para Mujtahid terdiri daripada dalil Al-Quran, Sunnah, dan Kias yang apabila mereka bersepakat terjauh daripada kesalahan. Asas ini dinamakan Ijmak.
Pada awalnya, mereka tidak memerlukan tata bahasa Arab untuk memahami nas-nas Al-Quran dan Sunnah kerana mereka dari golongan ahli bahasa. Mereka juga tidak memerlukan ilmu kaedah-kaedah menerima dan menolak sesuatu hadis, ini kerana mereka adalah sahabat nabi s.a.w yang selalu berdamping dengan baginda bahkan mereka juga adalah orang yang adil sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Sunnah.
Pada pertengahan zaman tabiin iaitu pada kurun kedua hijrah, munculnya orang-orang yang permainkan hadis dan membuat hadis palsu diikuti dengan kedatangan bangsa asing merosakkan bahasa Arab. Oleh itu, ulama'-ulama' mula menoleh kepada bahasa Arab yang berkaitan dengan isntinbat (pengeluaran hukum) daripada nas dan mencari permasalahan-permasalahan dalam ilmu hadis yang berkaitan dengan penerimaan dan penolakan hadis.
Dalam kurun ini juga, terdapat perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa baru yang tidak berlaku pada zaman sebelumnya. Ini disebabkan pembukaan-pembukaan Hadarah Islam, perbezaan budaya, dan pertembungan di antara ahli-ahli Falsafah dan Ilmu Kalam dengan Ahli-ahli Hadis dan Fuqaha yang menyebabkan mereka membincangkan beberapa permasalahan di dalam ilmu Usul Feqh ini dan mendalaminya, seterusnya meletakkan di dalam karya-karya mereka ilmu riwayat dan feqh . Kemudiannya barulah mereka mengasingkan ilmu ini menjadi satu ilmu yang bersendiri.
Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah (W150H) mempunyai karya di dalam ilmu Usul Feqh iaitu 'Kitabu Ar-Raky' begitu juga dengan dua orang anak muridnya: Qadi Abu Yusuf dan Muhammad bin Al-Hasan.
Ulama' telah bersepakat bahawa orang yang pertama menulis dalam bidang ini ialah Imam Syafie (W204H) dengan karyanya yang masyhur 'Ar-Risalah'. Seterusnya diikuti oleh para ulama' menulis dalam bidang ini dan memperluaskan permasalahannya.
Oleh kerana terdapat perbezaan cara yang digunakan dalam mengeluarkan hukum, dan juga ketidaksepakatan istilah yang digunakan oleh ulama', maka setiap jalan dengan caranya sendiri. Pada awalnya hanya terdapat dua jalan yang mereka lalui.
Sebahagian daripada mereka mengikut cara teori sahaja yang dipanggil Method Ulama Kalam. Cara ini banyak menggunakan teori, perdebatan, perbincangan dalil, dan tidak membincangkan perkara cabang melainkan ia dijadikan sebagai contoh bagi kaedah atau menerangkan kesalahannya bersandar pada kaedah yg digunakan.

Di antara karya-karya mereka ialah :
1. al-Muktamad fi Usul al-Feqh oleh Abu al-Husain al-Basri al-Muktazili (w436h),
2. al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Ibnu Hazm al-Andalusi az-Zahiri (w456h),
3. al-Uddah fi Usul al-Feqh oleh Abu Ya'la al-Farra (w458h),
4. at-Tamhid fi Usul al-Feqh oleh Abu al-Khatab al-Kalwazani (w510h),
5. al-Adl wa al-Insaf fi Usul al-Feqh wa al-Ikhtilaf oleh Abu Ya'kob al-Warijlani (w570h),
6. at-Tabsira wa Syarh al-Lumak oleh Abu Ishak as-Shirazi (w476h),
7. Ihkam al-Fusul fi Ahkam al-Usul oleh al-Baji al-Maliki (w474h),
8. al-Burhan fi Usul al-Feqh oleh Imam al-Haramain al-Juwaini (w478h),
9. al-Mustasfa oleh Hujatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (w505h),
10. al-Wusul ila al-Usul oleh Ibn Burhan al-Baghdadi (w520h),
11. al-Mahsul fi Usul al-Feqh oleh Fakhr ad-Din ar-Razi (w606h),
12. al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saif ad-Din al-Amidi (w631h).

Sebahagian daripada mereka pula mengikut cara praktikal yang dipanggil Method Ulama Feqah atau Method Ulama Hanafi. Ia merupakan kaedah-kaedah istinbat yang diambil daripada hukum-hukum dan perkara-perkara cabang yang telah dikeluarkan oleh imam mereka.
Di antara karya-karya mereka pula :

1. 'Maakhid as-Sharaik' oleh Abu Mansor al-Maturidi (w330h),
2. 'Kitab al-Usul' oleh Imam al-Karkhi (w340h),
3. 'Kitab al-Usul' oleh Imam al-Jassas (w370h),
4. 'Takwim al-Adillah wa Taksis an-Nazar' oleh Imam Abu Zaid ad-Dabusi (w430h),
5. 'Kitab al-Usul' oleh Imam al-Bazdawi (w482h),
6. 'Kashf al-Asrar' oleh Abd Al-Aziz syarah kitab di atas.
7. 'Kitab al-Usul' oleh Shams al-Aimmah as-Sarakhsi (w490h),
8. 'Kitab al-Manar' oleh Hafiz ad-Din an-Nasafi (w790h).

Berlarutan perselisahan di antara dua halatuju ini sehingga terbentuk satu lagi cara baru yang menggabungkan kedua-dua jalan tersebut pada akhir kurun ke-tujuh hijrah. Jalan ini mengumpul keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di dalam kedua-dua jalan dan menjauhkan daripada kesalahan-kesalahan yang berlaku.
Di antara karya-karya yang didapati dalam jalan ini :

1. 'Badi' an-Nizam al-Jamik bayn Usul al-Bazdawi dan al-Ahkam' oleh Muzaffar ad-Din as-Sa'ati (w694h),
2. 'Tankih al-Usul' oleh Sadr as-Shariah 'Ubaidullah bin Mas'ud (w747), beliau telah meringkaskan kitab al-Bazdawi, al-Mahsul, dan Mukhtasar Ibnu al-Hajib,
3. 'Jam'u al-Jawami'' oleh Taj ad-Din 'Abd al-Wahhab bin 'Ali as-Subki (w771h),
4. 'at-Tahrir' oleh al-Kamal bin al-Hammam (w861h),
5. 'Musalam as-Thubut' oleh Muhib ad-Din bin Abd as-Shukur (w1119h).

Kemudiannya, pada kurun ke-lapan hijrah munculnya Imam Abu Ishak as-Shatibi (w790h) yang membuat satu lagi jalan baru dalam ilmu Usul Feqh di dalam kitabnya yang berjudul 'al-Muwafakat'. Iaitu jalan Makasid, dimana ianya menitikberatkan hikmah, objektif dan tujuan pensyariatan.
Di antara karya-karya yang didapati dalam jalan ini :

1. 'Makasid as-Syariah al-Islamiah' oleh Muhammad At-Tahir bin 'Asyur (w1975m),
2. 'Mahasin as-Syariah al-Islamiah wa Makarimuha' oleh 'Allal Al-Fasi (w1394h),
3. 'Dhawabit al-Maslahah fi as-Syariah al-Islamiah' oleh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti.

Begitulah ilmu ini dari masa ke semasa mendapat pembaharuan dan berkembang, berkhidmat untuk menjaga Islam, agama yang terunggul di muka bumi ini.


000000000000000000000000000000000

No comments:

Post a Comment

 

accutane